Penglibatan dalam politik Eva Peron

Pada 15 Januari 1944, suatu gempa bumi yang besar telah memusnahkan 90% perbandaran Andes di San Juan di mana seramai 7 ribu orang telah terkorban. Dari pejabat Buruh dan Kebajikan Sosial, Perón telah mengelolakan usaha bantuan kemanusiaan secara kebangsaan dan menjemput bintang-bintang popular pada ketika itu untuk menghulurkan bantuan. Antara yang terlibat termasuklah Eva Duarte.

Seminggu kemudian, satu pesta besar-besaran telah diadakan di Stadium Luna Park dan dari sini bermulalah perhubungan intim antara Eva Duarte dan Kolonel Perón.

Pada 9 Oktober 1945, Juan Perón ditangkap oleh musuh-musuhnya di dalam pemerintahan yang bimbang bahawa dengan sokongan kuat kaum miskin (descamisados) dan kaum buruh, populariti Perón dapat memudaratkan sokongan bagi presiden yang berkuasa.

Pada waktu itu, Eva yang menjadi wanita simpanannya, sering dipuji kerana mengorganisasi pertemuan-pertemuan massa dengan ribuan orang hingga membebaskan Juan Perón dari penjara pada 17 Oktober 1945. Versi tentang peristiwa ini dipopularkan dalam musikal Andrew Lloyd Webber, "Evita". Namun kebanyakan sejarawan setuju bahawa hal ini tidak mungkin terjadi kerana pada ketika itu, Eva hanya seorang pelakon. Beliau masih belum mempunyai pengaruh politik dengan berbagai kumpulan buruh yang menyokong Perón, dan juga tidak begitu disukai oleh lingkaran dekat Perón ataupun kebanyakan para pemilik perusahaan filem dan radio. Ketika Juan Perón dipenjara, Eva Perón tiba-tiba kehilangan sokongan dari kebanyakan orang. (Surat-surat mereka saat Juan di penjara menunjukkan bahawa keduanya sesungguhnya mempertimbangkan untuk meninggalkan Argentina setelah Juan dibebaskan. Faktor keduanya ialah kebimbangan bahawa Juan Perón mungkin akan dibunuh ketika di dalam penjara.)

Nyatanya, demonstrasi besar yang membebaskan Perón dari penjara dianjurkan oleh berbagai kumpulan buruh, seperti Konfederasi Umum Buruh, atau yang belakangan dikenal sebagai CGT. Hingga sekarang, tanggal 17 Oktober dianggap sebagai cuti awam untuk Parti Justicialist di Argentina (dirayakan sebagai Día de la Lealtad, "Hari Kesetiaan").

Evita berkempen untuk presiden Juan Perón

Eva Perón berkempen hebat supaya suaminya menjadi presiden Argentina dalam waktu yang singkat. Dengan acara radio mingguannya, ia menyampaikan pidato-pidato hebat dengan retorik populis yang kuat dan menganjurkan kaum miskin untuk bersatu dengan gerakan Perón. Meskipun ia kini cukup kaya hasil pendapatan dari lakonan radio dan kerjayanya sebagai model, beliau menyoroti masa kecilnya yang miskin sebagai cara untuk memperlihatkan solidaritinya dengan kaum miskin.

Eva mengunjungi setiap sudut negaranya, menjadi wanita pertama dalam sejarah Argentina untuk muncul secara umum dalam kempen politik suaminya. Penampilan Eva bersama suaminya seringkali mencetus kemarahan golongan kaya, tentera dan mereka dalam lingkungan politik. Namun beliau sangat popular di kalangan masyarakat, yang mengenalinya dari radio dan filem. Oleh itu, beliau merupakan alat yang efektif untuk mendapatkan perhatian daripada kaum miskin dan pemberi suara kelas pekerja Argentina. Pada masa hidupnya itulah untuk pertama kalinya ia menganjurkan rakyat Argentina untuk memanggilnya bukan sebagai "Eva Perón" namun sekadar "Evita", iaitu panggilan manja dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud "Eva yang Kecil". Eva telah berusaha keras untuk menaikkan nama suaminya itu dan hasilnya, pada pilihan raya 1946, Juan Perón telah memeperolehi kemenangan yang besar iaitu sebanyak 56% undi.

Lawatan Pelangi ke Eropah

Pada 1947,Juan Perón telah mendapat jemputan daripada Franco untuk melawati negara Sepanyol. Ini telah menimbul dilema kepada pihak pentadbiran kerana Franco menyokong gerakan fasisme dan kuasa paksi semasa Perang Dunia II, manakala Argentina baru hendak menjalinkan persahabatan dengan Amerika Syarikat dan menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Oleh itu, sekiranya Perón menerima jemputan ini, ia akan mengeruhkan perhubungan dengan negara-negara Barat lain. Namun,Perón masih mahu menunjukkan sokongannya terhadap gerakan fasisme.

Oleh yang demikian, isterinya bersetuju untuk menjadi wakilnya ke Sepanyol. Walaupun begitu, para penasihatnya telah mengubah agenda lawatan dan memasukkan negara lain seperti Perancis, Itali dan Switzerland agar lawatan ini tidak kelihatan seperti sokongan Argentina kepada Sepanyol.

Eva selaku seorang selebriti dan pelakon telah melaksanakan peranannya dengan penuh berkesan. Malah, beliau telah mendapat sambutan yang sangat baik di Sepanyol, di mana beliau melawat makam-makam diraja Sepanyol seperti Ferdinand dan Isabella. Sepanyol di bawah regim Franco masih belum pulih daripada Perang Saudara Sepanyol dan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh PBB. Sewaktu lawatannya ke Sepanyol beliau sering menderma 100-peseta kepada kanak-kanak miskin di sana. Eva juga telah dikurniakan pingat tertinggi oleh kerajaan Sepanyol iaitu, the Cross of Isabel the Catholic.